PEMANSUHAN AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI (ISA) DAN AKTA BUANG NEGERI | ISI UCAPAN PERDANA MENTERI MALAYSIA

PEMANSUHAN AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI (ISA) DAN AKTA BUANG NEGERI | ISI UCAPAN PERDANA MENTERI MALAYSIA | Beberapa kejutan dalamUcapan Sempena Sambutan Hari Malaysia 2011 oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak ternyata melambangkan beliau dan kerajaan yakin dengan kekuatan dan matlamat Kerajaan Barisan Nasional. Dua akta berkenaan dikatakan sudah tidak relevan dengan zaman dan beliau yakin kerajaan mampu menggubal akta yang lebih sesuai dengan keadaan di Malaysia kini.


Perdana Menteri juga menegaskan beberapa akta atau undang-undang lain juga perlu digubal memandangkan telah terlalu lama dan sudah tidak sesuai untuk digunakan. Antaranya akta dalam percetakan dan penerbitan dan juga berkenaan perhimpunan politik dan sebagainya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

TEKS UCAPAN PERUTUSAN KHAS PERDANA MENTERI SEMPENA HARI MALAYSIA 16 SEPTEMBER 2011


TEKS UCAPAN PERUTUSAN KHAS PERDANA MENTERI SEMPENA HARI MALAYSIA 16 SEPTEMBER 2011 | Berikut adalah teks Perutusan Khas Hari Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Bersama-samalah kita membaca dan memahami isi kandungannya. Semoga artikel yang ammboi share ini boleh dijadikan manfaat bersama.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Hari Malaysia.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian. Alhamdulillah dengan limpah izin dan kurnia-Nya jua, kita dapat menyambut ulang tahun penubuhan Malaysia bagi kali ke-48 sebagai warga sebuah negara yang merdeka, berdaulat, demokratik, aman dan makmur.
Sesungguhnya kisah perjalanan Malaysia penuh warna-warni. Bermula daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah semasa penubuhannya, hari ini, hasil mahsul perancangan penuh sistematik dan pelaksanaan begitu mapan, kita telah berjaya muncul sebagai negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi. Bertolak dari situ, sekalipun kejayaan yang telah dicapai bersifat monumental dan amat signifikan, ia bukanlah alasan yang membenarkan kita untuk berhenti berusaha, berasa puas hati, berasa selesa, apatah lagi mengambil sikap bersimpuh sambil berpeluk tubuh.
Apa yang sewajarnya dilakukan demi survival serta kesejahteraan rakyat terus meningkat lagi terjamin dalam dunia yang amat kompetitif dewasa ini, marilah melipatgandakan usaha bagi menambah baik daya saing nasional melalui penggunaan kreativiti, inovasi dan menjulat usaha penciptaan kekayaan baru berasaskan sifat keusahawanan mandiri. Semua matlamat ini tidak mungkin akan tercapai tanpa wujudnya perpaduan nasional, keamanan, kestabilan dan keharmonian.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
Membelek helaian-helaian tawarikh, apabila negara mencapai kemerdekaan 54 tahun lalu sehingga Malaysia dibentuk enam tahun kemudiannya, bersama-sama Sabah dan Sarawak, banyak pihak ketika itu, sama ada pemerhati asing, mahupun warga tempatan berasa ragu-ragu serta waham mempersoalkan tentang, sebuah negara baru yang negeri-negerinya terpisah dek Laut Cina Selatan, sedang diancam pula pemberontakan komunis, dengan separuh penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan, ditambah oleh faktor kemajmukan demografik yang luar biasa kompleksitinya, mungkinkah mampu untuk kekal utuh sebagai sebuah negara bangsa apatah lagi untuk berjaya?
Ternyata, pencapaian Malaysia selama ini, bertatih dan berjalan jatuh untuk mengecap nikmat kejayaan diiringi sebuah takdir yang penuh cabaran. Jika disisir sejarahnya, semacam satu keajaiban di awal usia setahun jagung meraih kemerdekaan, hakikat yang tersebut tadi ditambah berat pula dengan penerimaan sistem dan falsafah pentadbiran negara berasaskan Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan serta Persekutuan, telah diterima amal secara tuntas oleh kita begitu awal ketika mana proses pembudayaan masih lagi tidak matang.
Jelas sekali, sebelum merdeka, warga tiga belas buah negeri yang bersatu membentuk Malaysia tidak pernah berpeluang untuk memilih kerajaan yang akan memerintah sekalipun corak pentadbirannya. Kewujudan mereka hanyalah sebagai rakyat negeri-negeri naungan atau tanah jajahan yang diberi keistimewaan politik terhad mengikut budi bicara kuasa pemerintah. Pastinya, ini, bukanlah hak politik tulen yang terbit daripada kewarganegaraan sebuah negara merdeka serta berdaulat.
Menyingkap fakta, sebelum merdeka, pemilihan politik pertama yang berlangsung di mana rakyat telah diberi peluang secara terhad untuk memilih wakil mereka adalah semasa pemilihan beberapa Majlis Perbandaran pada 1952 dan seterusnya pemilihan sebahagian Anggota Majlis Perundangan Persekutuan pada 1955. Sebaliknya, hanya tahun-tahun selepas merdeka bermula 1959, rakyat mula diberi hak dan tanggungjawab sepenuhnya untuk memilih semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri sebagai hak budi bicara mutlak dalam menentukan parti manakah bagi membentuk kerajaan.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
Sememangnya kita perlu bersyukur kerana dari masa hingga masa, walau apapun rintangan menjelma, sama ada bersifat dalaman mahupun luaran yang telah mengancam demokrasi dan kebebasan individu seperti pemberontakan komunis, konfrontasi menentang penubuhan Malaysia, rusuhan kaum, kemelesetan ekonomi, ekstremisme agama mahupun cauvinisme perkauman, Alhamdulillah, setiap satunya telah berjaya ditangani dan dihadapi menggunakan kerangka tindakan berhemah, demokratik berasaskan prinsip keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.
Barang harus diingat jua, sepanjang tempoh tersebut tidak pernah terlintas di benak pihak kerajaan walau sedetik pun untuk menukar sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sedia ada dengan sebarang sistem antidemokratik, waima betapa getir cabaran yang dihadapi. Seperti terakam pada susur galur negara, disebabkan tragedi 13 Mei, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat YAB Perdana Menteri ketika itu menurut peruntukan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, telah mengisytiharkan darurat.
Salah satu kesan pengisytiharan darurat 1969 ialah proses pilihan raya yang belum selesai di Sabah dan Sarawak telah digantung. Peristiwa selanjutnya yang berlaku adalah pemilihan Dewan Rakyat telah disempurnakan dalam tempoh lebih kurang dua puluh bulan kemudian dan sistem Demokrasi Berparlimen dipulih kembali apabila keamanan negara telah stabil seperti sedia kala.
Kendatipun begitu, Allahyarham Tun Abdul Razak selaku Timbalan Perdana Menteri pada masa itu merangkap Menteri Pertahanan yang telah diamanahkan mengetuai Majlis Gerakan Negara atau MAGERAN, dengan memiliki kuasa mutlak eksekutif dan perundangan, tidak pernah menyimpan hasrat untuk mengekalkan kuasa-kuasa tersebut lebih lama daripada apa yang perlu.
Sudah terang lagi bersuluh, Allahyarham Tun bersama rakan-rakan ketika itu amat menyedari bahawa kuasa luar biasa tanpa sempadan yang tergenggam di tangan mereka tidak boleh sekali-kali dijadikan suatu kelaziman demi masa depan negara tercinta. Sebaliknya, mereka faham kuasa total itu sekadar suatu amanah untuk mengekang dan mengawal tragedi serta kegoncangan yang berlaku.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
Sebetulnya lagi, sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen, kuasa untuk menentukan parti politik mana yang akan membentuk kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat negeri terletak secara mutlak tanpa kekecualian di tangan rakyat. Setelah lebih lima dekad kemerdekaan negara dan hampir lima dasawarsa pembentukan Malaysia, kita dapati bahawa, pengalaman, kematangan serta kebijaksanaan rakyat negara ini dalam memilih kerajaan demi menentukan halatuju masa depan yang mereka dambakan tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun jua.
Bahkan, saya sering mengutarakan bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah melewati tempohnya. Revolusi dalam bidang teknologi maklumat, kemajuan komunikasi dan kecanggihan pengangkutan telah membuka persaingan serta perbandingan secara meluas lagi dinamik dalam pasaran idea.
Kontemporari ini, taraf serta akses rakyat kepada semua peringkat pendidikan semakin meluas seiring dengan korpus pengetahuan yang dimiliki. Disamping itu, pertumbuhan ekonomi yang mapan, pengurangan kadar kemiskinan dan inisiatif kejuruteraan sosial serta keberkesanannya, telah berjaya meningkatkan taraf hidup serta mewujudkan kelas menengah yang besar. Mutakhir pula, keutamaan kehendak dan keperluan rakyat Malaysia telah mengalami perubahan yang besar berbanding empat atau lima dekad yang lalu.
Melangkah lebih jauh, mentadbir negara yang terzahir dari saat kemerdekaan dikudratkan oleh kehendak rakyat, kerajaan kini akan terus komited menjunjung sistem Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan, kedaulatan undang-undang, falsafah persekutuan serta prinsip imbang dan periksa di antara ketiga-tiga cabang kerajaan.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
Sebagai yang ramai maklum bahawa, kecuali darurat akibat konfrontasi pada 1964, yang telah dibatalkan secara tersirat, kesemua proklamasi darurat lain yang telah diisytiharkan sebelum ini, masih dianggap berkuat kuasa sehingga hari ini. Justeru, menginsafi bahawa realiti negara Malaysia telah berubah, merasai denyut nadi, resah gelisah dan aspirasi rakyat yang mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya, di mana, pendapat, idea dan kebimbangan massa lebih diberi perhatian, agar dapatlah kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sistem demokrasi lain di dunia yang berasaskan falsafah universal dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat, maka, kerajaan kini, di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen dengan usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, supaya ditamatkan kuat kuasanya.
Pada hemahnya, sudah tiba waktu rakyat Malaysia menuju masa depan dengan paradigma seterusnya yang berasaskan harapan baru dan bukannya terbelenggu oleh nostalgia kekangan sejarah lampau.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
Dalam menyusun atur peradaban bernegara bagi menghadapi keadaan luar biasa yang mengancam keselamatan tanahair dan kesejahteraan rakyat, tidak dapat tidak, menuntut kepada langkah-langkah khas yang kadangkala, bersifat di luar norma demokratik. Umpamanya, tindakan tahanan pencegahan. Sesungguhnya, kebijaksanaan menangani keganasan memerlukan kita mencegah perlakuan itu, sebelum kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa, harta benda atau menatijahkan apa-apa kecederaan. Ini merupakan satu kebenaran yang bersifat global dan diterima ramai.
Dari perspektif undang-undang Islam pula, ia terangkum jelas dalam Maqasid Syariah yang berobjektif melindungi lima perkara utama yakni; pertama: agama, kedua: nyawa, ketiga: akal, keempat: keturunan dan maruah serta kelima: harta benda. Bahkan prinsip Usul Fiqah banyak membicarakan mengenai perlunya disekat lebih awal sesuatu kemungkaran itu, sebelum ia berlaku. Manakala satu prinsip menyatakan bahawa, keputusan pemerintah adalah satu amanah yang perlu dibuat bagi pihak yang diperintah atas kepentingan maslahah ramai.
Ini bukanlah ehwal yang pelik, tidak lazim atau asing. Terbukti, negara-negara demokrasi yang maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom juga telah menggubal rangka perundangan khas bagi menangani ancaman pengganas pasca tragedi 11 September.
Pucuk pangkalnya, perseimbangan serta perimbangan yang harus ada bagi sebuah demokrasi moden adalah, di antara keselamatan nasional dan kebebasan individu. Itulah tugas dan tanggungjawab sebuah kerajaan yang matlamat tertingginya, menjunjung kebajikan serta kesejahteraan rakyat untuk mencari keseimbangan yang betul ini.
Misalnya, kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan tidak sesekali bermaksud sebagai kewenangan hak kepada mana-mana pihak untuk membuat fitnah dan menghasut api kebencian. Sebagai contoh mudah yang lain, kerajaan turut bertanggungjawab untuk menghalang jeritan palsu tentang bom dalam sebuah stadium yang penuh sesak. Ini kerana, kebebasan luar kawal sebegitu, akan hanya menimbulkan panik yang boleh membawa kepada kecederaan dan kehilangan nyawa.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
Seperti yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya ketika mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dikaji secara komprehensif. Sehubungan dengan itu, suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus.
Untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Pokoknya, akta-akta ini nanti bermatlamat untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.
Di atas segalanya, Kerajaan akan tetap memastikan hak asasi mereka yang terbabit terpelihara. Apa-apa undang-undang yang diperbuat akan mengambil kira hak dan kebebasan asasi berlandaskan Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang baru ini akan memperuntukkan tempoh tahanan oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa menteri.
Di sudut lain, kerajaan juga memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik. Umumnya pula, kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecualilah undang-undang berkaitan keganasan itu tadi.
Dalam konteks ini juga, selain memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa. Sehubungan dengan itu lagi, kita tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan.
Kajian semula komprehensif ini akan membabitkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan. Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan. Namun, kebenaran berhimpun diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak disamping mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
Sebagai sebuah negara, Malaysia dan seluruh warganya kini berada di persimpangan jalan. Pilihan yang kita putuskan hari ini akan menentukan nasib serta mencorakkan rupa bentuk Malaysia pada masa hadapan, tanah air yang akan kita wariskan kepada anak-anak kita dan generasi mendatang. Persoalannya, mampukah kita melampaui dan mencabar wasangka lazim bahawa rakyat Malaysia daripada latarbelakang yang majmuk, status sosioekonomi berbeza dan fahaman politik pelbagai, secara iradat manusiawinya, tiba kepada konsensus untuk tidak tunduk menyerah kepada sekam kebencian dan kecurigaan yang pastinya mengheret kita ke lembah kehinaan. Sebaliknya, ayuhlah kita bersama mendaya sebuah masa depan yang sarat dengan harapan dan kemuliaan.
Yakinlah bahawa, ia satu kekuatan bukan satu kelemahan untuk kita meletakkan kepercayaan kepada kebijaksanaan rakyat Malaysia membuat pilihan dalam mencorakkan hala tuju masa depan mereka sendiri. Jika kita menganggap ia satu kesilapan maka, apakah maknanya pencapaian kita hari ini, apakah gunanya kita merancang pembangunan negara dengan begitu tersusun semenjak merdeka, apakah gunanya kita membelanjakan sebahagian besar khazanah negara setiap tahun untuk memberikan akses pendidikan berkualiti kepada semua rakyat, membebaskan warga daripada cengkaman kemiskinan, membina infrastruktur fizikal serta teknologi komunikasi maklumat yang berkelas dunia?
Jawapannya sangat jelas yakni, langkah-langkah yang saya umumkan sebentar tadi tidak lain tidak bukan adalah inisiatif awal transformasi politik secara tertib lagi berhemah. Ia berdiri sebagai pelengkap amat penting serta perlu kepada inisiatif-inisiatif transformasi bidang ekonomi dan penyampaian awam yang pihak kerajaan telah rangka dan laksanakan semenjak lebih dua tahun kebelakangan dalam usaha menuju sebuah negara moden dan progresif.
Pastinya, masa bukan terlalu awal mahupun terlalu lewat, akan tetapi inilah kala paling sesuai serta waktu paling tepat untuk perhitungan-perhitungan besar sedemikian diambil dan dilancarkan. Kita maklum, walaupun bagi pendapat sesetengah pihak ia penuh berisiko, kita akan melakukannya demi survival, setelah lebih lima puluh tahun negara merdeka, dan hampir lima dekad Malaysia terbentuk. Lantaran kita di ambang pedati yang sedang berpacu deras untuk sampai ke destinasi sebagai sebuah negara maju sepenuhnya.
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
Akhir kalam, saya ingin tegaskan bahawa tanpa syak dan tanpa ragu-ragu lagi, Malaysia yang kita impikan bersama dan sedang kita cipta ini adalah Malaysia yang mengamalkan demokrasi berfungsi dan inklusif di mana keamanan dan ketenteraman awam dipelihara selaras dengan roh ketertinggian Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, penghormatan kepada hak asasi manusia dan hak-hak individu.
Demi Malaysia, bertawakallah semua dan kepada Tuhan kita berserah.
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Perutusan Khas PM sempena Hari Malaysia 2011 | Akta ISA dimansuhkan terus


Perdana Menteri Malaysia baru saja selesai menyampaikan Perutusan Khas sempena Hari Malaysia 16 September 2011. Antara kejutan yang diumumkan dalam Perutusan Khas itu adalah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) akan dimansuhkan terus. Sehubungan itu, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara. 
Dua undang-undang baru itu akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah. Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini. Apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa Menteri.
Umumnya pula, kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecualilah undang-undang berkaitan keganasan itu tadi. Kerajaan akan memastikan hak asasi sesiapa sahaja yang terbabit di bawah undang-undang baru itu nanti terus terpelihara berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.
Kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.
Antara intipati lain dalam Perutusan Khas tersebut :-
  • memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi
    memastikan ia memenuhi kehendak semasa.
  • Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.
  • Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.
  • kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.
  • kerajaan juga tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan apa-apa undang-undang yang tidak lagi relevan.
Hasil pengumuman dalam Perutusan Khas PM sempena Hari Malaysia ini terutamanya Pemansuhan Akta ISA itu pasti akan disambut baik oleh Rakyat 1Malaysia keseluruhannya. Tahniah!

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Hari Malaysia Titik Permulaan Realisasikan Impian 1Malaysia

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia yang julung kali diadakan di sini, bakal menjadi titik permulaan untuk merealisasi impian 1Malaysia seperti diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata presiden Parti Bersatu Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, kesediaan Perdana Menteri mendengar keluhan dan impian rakyat Sabah selaras dengan aspirasi 1Malaysia yang mendahulukan kepentingan rakyat.
Oleh itu, katanya, rakyat Sabah dan Sarawak amat berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas pengiktirafan serta penerimaan tarikh 16 September sebagai Hari Malaysia.
“Ungkapan ”Sabah menyertai Malaysia”, pertanyaan ”bila sampai ke Malaysia” yang sering diajukan kepada rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak, akan terungkai.
“Perubahan persepsi ini juga akan memberi ruang dan peluang yang cukup luas, dan mewujudkan perhubungan erat sebagai satu keluarga besar, sekali gus turut memberi implikasi positif terhadap penggubalan dasar dan polisi kerajaan, agar lebih bersifat holistik dan inklusif tanpa melupakan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pairin berkata, pengiktirafan itu turut memberi peluang kepada rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak untuk sama-sama memacu pembangunan negara dalam semua aspek, termasuk sosial, ekonomi dan politik.
“Dalam masa yang sama, rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak akan mendapat manfaat hasil daripada program pembangunan yang sedang dirancang dan yang akan dilaksanakan kerajaan.
“Kita amat bertuah kerana Kerajaan telah memilih Sabah sebagai tuan rumah acara sambutan yang penuh bersejarah ini, yang buat pertama kalinya disambut sejak 47 tahun,” katanya.
Sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini, beliau menyeru seluruh rakyat di negeri tersebut menjayakan pelbagai program yang dirancang oleh kerajaan sebagai menghargai dan menghormati permulaan Hari Malaysia.
“Inilah permulaan baik kepada kita rakyat Malaysia, bangsa Malaysia. Marilah kita bersatu hati dan menggembleng tenaga ke arah satu tujuan dan satu destinasi, ke arah yang kita impikan,” katanya.
Pairin berkata, sambutan Hari Malaysia cukup bermakna kepada rakyat di Sabah dan Sarawak.
“Sambutan Hari Malaysia akan menjadi satu titik permulaan perubahan persepsi yang akan menambah baik, mempererat serta memperkukuh jambatan muhibah di kalangan seluruh rakyat Malaysia merentasi Laut China Selatan menghubungkan Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
“Jambatan ini melangkaui batas perbezaan warna kulit dan kepercayaan ke arah membentuk satu negara yang aman dan makmur, dengan pembahagian peluang dan kemakmuran yang akan dikecapi oleh seluruh rakyat, tanpa ada yang ketinggalan,” kata beliau. – Bernama.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Selamat Menyambut Hari Malaysia 2011

Pada hari ini (16 September 2011), seluruh pelosok rakyat negara ini tidak mengira kaum, peringkat umur, pekerjaan, kaya atau miskin dan juga fahaman politiknya, kesemuanya tidak terkecuali menyambut Hari Malaysia.
Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun adalah hari yang menjadi milik semua.Tidak seorang pun di antara kita, perlu berasa diketepikan, sangsi atau terpinggir dalam menyambut hari yang amat bermakna dan bersejarah kepada negara ini.
Dan ia juga bukan hanya untuk dikenang dan diraikan oleh generasi terdahulu. Generasi muda, tidak kira apa jua kecenderungan serta minatnya, perlu dibawa bersama dalam arus menghayati erti Hari Malaysia kerana kesannya yang bukan sedikit terhadap pembangunan negara dari dulu sehingga kini.
Justeru itu, pengetahuan terhadap sejarah adalah kata kuncinya. Orang cerdik pandai sering berkata, sejarah merupakan guru terbaik untuk mendidik manusia menjadikan sesuatu yang lalu sebagai teladan atau sempadan. Sejarah adalah kebijaksanaan silam yang boleh dimanfaatkan untuk membina masa depan.
Hari Malaysia disambut bagi memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia pada tarikh 16 September 1963 yang menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia.
Persekutuan Malaysia dirasmikan penubuhannya serta diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.
Perisytiharan dibuat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30,000 rakyat berbilang kaum.
Bagaimanapun, penubuhan Persekutuan Malaysia ditentang hebat oleh Indonesia dan Filipina. Indonesia tidak senang dengan penubuhan Persekutuan Malaysia lantas, melancarkan konfrontasi ketenteraan di bawah slogan “Ganyang Malaysia” yang berlanjutan sehingga 1966.
Filipina pula menuntut haknya ke atas Sabah atas hujahan perjanjian yang dimeterai antara Kesultanan Sulu dengan pihak British.
Brunei yang turut termasuk dalam rancangan penubuhan Persekutuan Malaysia membatalkan penyertaannya setelah berdepan dengan pemberontakan besar-besaran di Brunei pada penghujung 1962.
Bagaimanapun, akhirnya pada 9 Julai 1963, Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia dimeterai di London hanya setelah Laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan menyatakan, lebih 80 peratus rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju dengan cadangan kemerdekaan melalui penggabungan bersama Persekutuan Tanah Melayu.
Tarikh perasmian pengisytiharan Persekutuan Malaysia telah ditangguhkan daripada 1 Jun 1963 kepada 31 Ogos 1963 kerana menunggu Laporan Suruhanjaya Cobbold.Namun tarikh itu pula ditangguhkan setelah Indonesia dan Filipina memperhebatkan tentangan mereka terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia.Dan akhirnya 16 September 1963 menjadi hari secara rasminya Persekutuan Malaysia ditubuhkan.
Sebelum ini, Hari Malaysia merupakan cuti am di Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Ia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Bagaimanapun mulai 2010, Hari Malaysia juga diisytiharkan cuti am di semua negeri di Malaysia.
Dan yang menjadikan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini lebih menarik dan bermakna adalah kerana acara sambutannya diadakan serentak dengan Hari Kemerdekaan Ke-54 negara.
Dalam usia 48 tahun Malaysia dibentuk, proses pembinaan negara Malaysia secara keseluruhannya mengambil masa yang panjang dan sudah tentunya tempoh itu dilalui dengan pelbagai dugaan, cabaran dan kesulitan oleh pemimpin dan generasi terdahulu.
Adalah merugikan jika segala kesukaran dan kepayahan itu disia-siakan oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan tertentu dan bertelagah dalam segala isu yang akhirnya meruntuhkan penyatuan Malaysia ini.
Dan perlu diakui, kekuatan Malaysia bukan sahaja terletak pada pembangunan di negeri-negeri Semenanjung sahaja, tetapi juga di Sabah dan Sarawak yang menjana ekonomi Malaysia keseluruhannya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS